Belia ‘Go Green’

FATIN FARHANA JAPRE kagum dengan belia yang berani menyahut cabaran acara sukan lasak 1M Youth Go Green (1MYGG15) selain memelihara alam semula jadi untuk tatapan generasi akan datang.

Kita mesti sedar akan kepentingan memelihara alam semula jadi yang masih ada pada hari ini. Usaha memupuk kesedaran masyarakat terutamanya belia terhadap kepentingan alam sekitar sering kali dilakukan pelbagai pihak seperti kempen kebersihan, promosi media, perkhemahan alam sekitar bagi belia dan lain-lain.

Semuanya bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran bahawa menjaga alam sekitar tanggungjawab bersama. Minggu lalu, Kementerian Belia dan Sukan menganjurkan program 1M Youth Go Green 2015 di Bagan Datoh, Perak khusus untuk belia yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 Mac lalu.

Program berkonsepkan ‘Go Green’ dan memasukkan elemen berbasikal dalam keseluruhan acara lebih merapatkan belia dengan alam semula jadi.

Justeru, kesemua 17 pasukan dapat membentuk jati diri, semangat berpasukan, disiplin, cabaran persekitaran dan kebudayaan antara ahli kumpulan.

Cabaran berbasikal sejauh 40 kilometer merangkumi enam ‘checkpoint’ menguji kekuatan dari segi fizikal dan mental peserta dalam pelbagai tugasan mencabar. Antara tugasan mencabar berteraskan elemen alam semula jadi adalah menghasilkan kraf tangan daripada tempurung kelapa. Peserta perlu menghasilkan pasu bunga dan pencedok air mengikut kreativiti tersendiri.

Selain itu, peserta turut berpeluang menghayati dan mendekatkan diri dengan alam semula jadi ketika berbasikal di hutan dan jalan kampung. Penulis sendiri merasakan kelainan kesegaran udara di sana selain menghayati flora dan faunanya yang masih belum diteroka.

Bukan itu saja, peserta turut berpeluang ke Pulau Sembilan yang menjadi destinasi pelancong luar untuk tujuan memancing, mandi-manda atau berkhemah. Kami ditugaskan untuk membersih dan mengutip bahan buangan terutama bahan plastik terbiar bersama belia Kampung Sungai Nipah Baroh, Bagan Datoh, Perak. Kecantikan pulau yang masih dipelihara dan air yang jernih memukau penulis.

Selaras dengan itu, peserta dikehendaki membuat dayung berasaskan kayu, mendayung bot orang kampung, memancing ikan, memetik kelapa dan membuat kuih bahulu kemboja. Bagi penulis, ini pengalaman baru kepada semua peserta kerana tidak semua berpeluang merasai pengalaman ini.

Bukan sekadar merapatkan diri dengan alam semula jadi, malah peserta juga diberi peluang untuk mengenali keluarga baru dalam program anak angkat bersama penduduk kampung. Sikap orang kampung dan keluarga angkat yang peramah sangat menyentuh hati penulis ditambah layanan mereka yang baik terhadap kami. Tinggal serumah dengan mereka dan ahli kumpulan juga dapat merapatkan silaturahim antara satu sama lain.

Pengarah Acara Azman Hasan dari Radiance Holidays dan Discovery Adventure Communication berkata, program berkenaan kesinambungan kepada acara ‘Go Green’ yang pernah menjelajah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sekitar 2007 hingga 2011 sebelum ini.

“Pihak Kementerian Belia dan Sukan sentiasa memberi tumpuan terhadap aktiviti membabitkan golongan belia melalui acara seperti ini dan Bagan Datoh dipilih kerana ia kawasan yang mempunyai keindahan alam semula jadi dan masih hijau. Kita mahu terapkan belia dengan aktiviti seperti ini yang kita lihat semakin berkurangan pada hari ini,” katanya.

Komen Gen Y

“Ini bukan saja program yang mengajak belia menghargai alam semula ,jadi malah dapat mengurangkan masalah sosial dalam kalangan belia. Konsep kali ini bertemakan alam semula jadi, saya setuju 100 peratus kerana dalam masa kita bersukan, kita dapat memelihara alam sekitar. Kebanyakan alam sekitar sudah tercemar, jadi dengan program seperti ini belia boleh menjaga dan mendekatkan diri dengan alam sekitar dengan tugasan yang diberi,” katanya. - Zulfaisal Muhamad, 26, peserta 1MYGG15

“Aktiviti ini bagus untuk perkembangkan pengetahuan belia pentingnya memelihara alam semula jadi dan dapat mencuba aktiviti yang kami tidak tahu, contohnya macam memetik kelapa. Biasanya belia tidak tahu benda-benda macam itu, jadi dengan program macam ini belia dapat belajar caranya.

“Tambahan program anak angkat bersama penduduk kampung dapat merapatkan hubungan silaturahim dan dapat mengenali emak, ayah, adik-beradik angkat baru selain tahu cara hidup di kampung dan cara pergaulan mereka,” katanya. - Nur Idayu Tik, 25, peserta 1MYGG15

“Sebagai anak jati Kampung Sungai Nipah Baroh, ini kali pertama program seperti ini diadakan. Aktiviti seperti berbasikal sejauh 40km sangat mencabar, namun dengan adanya tugasan dengan elemen alam semula jadi, belia seperti saya dapat mengetahui kepentingan flora dan fauna, justeru terus memelihara kecantikannya.

“Selain itu, kehadiran pihak media dan menjadi peserta dalam program ini membuatkan saya gembira kerana tidak mudah nak jumpa mereka kerana biasanya lihat di dalam televisyen atau akhbar, dan ini peluang saya dan orang kampung beramah mesra dengn mereka. Di harap program seperti ini dapat diperluaskan lagi pada masa akan datang,” katanya.- Mohamad Qatrun Shamsul Kamal, 16, peserta 1MYGG15

- See more at: http://www.hmetro.com.my