Kontinjen M'sia Buru Pingat Emas Pertama Esok

SINGAPURA, 3 Jun (Bernama) -- Setelah terlepas pingat emas dalam acara lawan pedang hari ini, kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan pingat emas pertama pada Sukan SEA ke-28, Khamis. Kontinjen negara hampir meraih pingat emas pertama pada Rabu, namun tidak kesampaian selepas atlet lawan pedang acara Sabre individu lelaki, Yu Peng Kean terkandas di peringkat separuh akhir. Peng Kean tewas 4-15 kepada atlet Vietnam, Vu Thanh An. Hilang fokus ketika beraksi menjadi punca kegagalan anak jati Bukit Cina, Melaka itu yang baru pulih sepenuhnya daripada kecederaan 'Anterior Cruciate Ligament (ACL). Harapan kontinjen negara untuk melihat atlet lawan pedang, Natasha Ezzra Abu Bakar untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA Singapura juga berkecai apabila beliau terkandas di peringkat suku akhir acara foil individu wanita. Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2011 di Indonesia itu tewas tipis kepada atlet tuan rumah, Wenying Wang dengan 14-15 dalam acara yang berlangsung di Arena OCBC, Hab Sukan Singapura Rabu. Kutipan pingat kontinjen negara, bagaimanapun bertambah hari ini apabila pasukan renang berirama negara meraih pingat perak dalam acara rutin bebas berpasukan. Pasukan yang baru setahun lebih dibentuk dengan mengandingkan atlet senior dan pelapis seperti dijangka sekadar meraih pingat perak. Sandaran negara kini diletakkan kepada gandingan Katrina Ann Abdul Hadi dan Zylane Lee untuk meraih pingat emas dalam acara duet rutin teknikal dan bebas. Tinggal dua hari sebelum tirai temasya Sukan SEA ke-28 dibuka secara rasmi, kontinjen tuan rumah mendahului pungutan pingat dengan lima pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa. Kedudukan itu diikuti Vietnam (2-0-3) dan Thailand (0-2-4), manakala Malaysia di kedudukan keempat dengan mengutip satu perak dan dua gangsa.

 

Daripada Farhanah Azmi

-- BERNAMA