JADIKAN BIDANG KEMAHIRAN SATU KEUTAMAAN

KUALA LUMPUR, 18 JUN 2015 – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan hari ini menjadi tetamu di Majlis Taklimat dan Penghargaan meraikan calon-calon yang telah menerima tawaran kemasukan ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP).  Majlis yang diadakan di Wisma Tun Sambanthan disini itu merupakan program yang julung kalinya diadakan bagi memberi penjelasan dan pemahaman kepada para calon yang terpilih berkenaan program dan kursus yang ditawarkan. Dalam ucapannya, Datuk M. Saravanan mahukan lebih ramai lagi belia India untuk menceburi bidang kemahiran kerana bidang kemahiran ternyata dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi di samping memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh industri.  “ Dalam dunia yang semakin mencabar pada hari ini, dengan peluang pekerjaan yang terhad, kita tidak mahu anda semua ketinggalan dan hanya mengharapkan sesuatu tanpa berusaha” ujar beliau. “Oleh itu, gunakan peluang ini sebaik-baiknya, kerana bidang Kemahiran ini sangat memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada orang lain”, tambahnya.  Menurut beliau, langkah ini juga merupakan kehendak Perdana Menteri yang meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 75% belia India mengikuti program-program kemahiran tetapi apa yang dicapai pada hari ini adalah lebih dari apa yang disasarkan. Beliau berharap kesemua calon yang mendapat tawaran pada hari ini akan melapor diri dan mengikuti pengajian dengan jayanya. Majlis yang dianjurkan Yayasan MySkill ini turut dihadiri Pengarah Cawangan Operasi dan Latihan, Bahagian Pembangunan Kemahiran Kementerian Belia Dan Sukan, Abd. Rashid Deraman.

Oleh :
Khalid Khairuddin ( Unit Komunikasi Korporat KBS) 
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.