INTERAKSI AKADEMIK DAN SUMBANGAN AL-QURAN KEPADA ANAK-ANAK YATIM

KUALA LUMPUR, 13 JULAI 2015 – Rumah Anak-Anak Yatim Darul Taqwa yang terletak di Sg. Besi, Kuala Lumpur telah menjadi pilihan penganjur program Corporate Social Responsbility (CSR) iaitu Biro Pendidikan dan Pembangunan Keluarga dengan gabungan Biro Kebajikan dan Agama, PUSPANITA. Program tersebut juga program kerjasama antara Kelab Rekreasi IPPBM bersama Pertubuhan Belia Perdana yang diketuai oleh Encik Suhail Bin Mohamed Kamaruddin juga selaku penceramah jemputan dalam sesi Interaksi Akademik bersama-sama anak-anak yatim. Sesi Interaksi Akademik telah dilaksanakan dengan bantuan sukarelawan seramai 17 orang daripada Pertubuhan Belia Perdana dan seramai 31 orang jemputan yang terdiri di kalangan pegawai kanan KBS, warga team KBS dan warga IYRES turut bersama-sama dalam menjayakan program ini. Manakala penglibatan dari rumah anak-anak yatim tersebut telah dikendalikan oleh Timbalan Pengerusi Rumah Anak-anak Yatim Darul Taqwa, Ustaz Tukiran bin Purman dan 21 orang penghuni rumah Darul Taqwa.

Lawatan ini merupakan salah satu aktiviti pendidikan dalam memberi bimbingan serta ilmu tambah tentang cara dan pembelajaran yang betul kepada anak-anak yatim. Pihak penganjur juga telah mengambil kesempatan dengan menyalurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk seperti pemberian al-quran, makanan dan duit raya sebagai bantuan persiapan raya Aidilfitri 1436H.  Serahan sumbangan tersebut telah dilaksanakan oleh  YBhg. Datuk Jamil Bin Salleh selaku Penaung PUSPANITA Cawangan KBS dan YBhg. Datin Dr. Asmah Binti Samat, Pengerusi PUSPANITA Cawangan KBS. Selain itu juga, anak-anak yatim dan para jemputan dikejutkan dengan kehadiran khas selebriti jemputan iaitu Encik Muhd Asraff Muslim.

Program diakhiri dengan majlis berbuka puasa dan solat Mahgrib berjemaah. Selaku penganjur pihak PUSPANITA Cawangan KBS, mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama dari pihak yang berkaitan dan sumbangan dan yang diberikan serta berharap mendapat keberkatan dari-NYA dalam menjayakan program bersama anak-anak yatim Darul Taqwa.

Oleh                       : Raja Shahida Binti Raja Hassan

Disunting Oleh         : Nadya Shaffinaz Binti Bajuri