Pembangunan Modal Insan Secara Holistik Mampu Penuhi Aspirasi Negara

Oleh Nur Aimidiyana Zuher dan Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Mempertingkatkan pembangunan modal insan adalah antara teras utama Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020), tempoh yang berkebetulan sama dengan peringkat kritikal Malaysia melangkah ke arah mencapai status negara maju.Menurut RMK-11 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 21 Mei, pembangunan modal insan adalah sumber penting dalam memacu dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi, serta menyokong peralihan kesemua sektor ekonomi ke arah aktiviti intensif pengetahuan.Peralihan seumpama itu, menurut ahli akademik, memerlukan modal insan bertaraf dunia yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi tetapi juga fleksibel dan kreatif, serta memiliki etika kerja positif dan nilai-nilai rohaniah.Pensyarah Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed menegaskan bahawa pembangunan fizikal yang dikecapi negara ini perlu dilengkapkan dengan modal insan yang berprinsip dan berakhlak tinggi. Beliau berkata Malaysia perlu lebih menekankan ke arah pembangunan modal insan yang melambangkan nilai-nilai murni, kerana mereka adalah generasi yang diamanahkan dengan tugas membangunkan negara."Kami mahu rakyat kita mempunyai pendidikan tinggi dan mereka hendaklah menggunakan pendidikan tersebut untuk memakmurkan masyarakat dan negara, dan bukan sebaliknya," katanya kepada Bernama. MEMBANGUNKAN TENAGA KERJA BERETIKA Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Dr Junaidy Abu Bakar dalam menyokong keperluan pembangunan modal insan yang holistik, berkata bahawa negara ini perlu memberi tumpuan kepada menghasilkan tenaga kerja yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, intelektual dan berbakat tetapi berprinsip serta mempunyai akhlak yang tinggi.Beliau berkata pendekatan yang holistik dan seimbang dalam membangunkan modal insan juga akan menghasilkan individu yang kental dan berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan.Sementara itu, Pensyarah Psikologi dan Kaunseling Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Dr R. Nambiar, berkata selain pembangunan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan inovatif, aspek rohani, emosi dan pembentukan peribadi mereka hendaklah diberi penekanan bagi mewujudkan individu yang seimbang mental dan fizikalnya.Beliau menegaskan bahawa pengetahuan sahaja tidak mencukupi sebagai ciri-ciri modal insan yang berkualiti, sebaliknya hendaklah juga menumpukan aspek asimilasi etika yang baik dan nilai-nilai murni.Tambahnya, kejayaan sesebuah negara tidak boleh diukur berdasarkan kepesatan kemajuan teknologi semata-mata tetapi juga nilai kemanusiaan yang tinggi serta mempunyai keperibadian dan akhlak mulia.Sementara itu, Ahmad Martadha menegaskan amat penting bagi Malaysia untuk membangunkan tenaga kerja berkualiti, jika tidak ia mungkin akan dilabel sebagai sebuah negara yang mempunyai "infrastruktur bertaraf dunia dengan mentaliti rakyat dunia ketiga".Nambiar yang bersetuju turut menyatakan akan kepentingan memupuk mentaliti bertaraf dunia dalam kalangan tenaga kerja."Malaysia mempunyai infrastruktur yang baik, tetapi mentaliti rakyatnya masih di tahap dunia ketiga. Bukanlah mudah untuk mengubah mentaliti mereka, justeru perlulah ada alternatif untuk memastikan Malaysia mencapai Wawasan 2020," tambahnya. DASAR KERAJAAN Sebelum ini, kata Ahmad Martadha, kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar bagi membentuk jati diri dan keperibadian kakitangan dalam sektor awam dan swasta.Beliau berkata Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Kepimpinan Melalui Teladan adalah antara dasar kerajaan yang berjaya mendidik anggota perkhidmatan awam dan swasta agar menjadi modal insan yang berkualiti.Di samping itu, pengenalan Pelan Integriti Nasional (PIN) pada 2004 adalah satu daripada mekanisme penting ke arah meningkatkan lagi etika dan integriti kakitangan awam dan swasta.Beliau berkata kualiti pendidikan di peringkat paling asas perlu ditekankan agar kanak-kanak diberi pendedahan untuk membina jati diri, akhlak dan integriti yang baik."Apabila kanak-kanak membesar kelak, mereka akan dapat membezakan antara perbuatan baik dan buruk, serta mengelakkan sebarang salah laku yang boleh merosakkan imej mereka. PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN Junaidy berkata institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta adalah penyumbang kepada pembangunan modal insan dengan menyediakan platform untuk melengkapkan individu dengan pengetahuan dan kemahiran tertentu bagi membolehkan mereka bersaing dengan berkesan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.Beliau percaya bahawa modal insan seperti yang dibayangkan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 mempunyai kapasiti untuk bertindak sebagai pemangkin dalam mencorak tahap ketamadunan bangsa, sekaligus menjulang kedudukan Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.Rangka tindakan itu menggariskan 10 anjakan yang bertujuan untuk merangsang kecemerlangan berterusan dalam sistem pendidikan yang lebih tinggi.Ia bagi menghasilkan, antara lain, graduan yang seimbang, holistik serta bersifat keusahawanan; pembelajaran sepanjang hayat; dan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkualiti.Menyentuh tumpuan RMK11 dalam memperkasa TVET, Junaidy berkata negara sudah bersedia menggunakan latihan teknikal dan vokasional sebagai platform utama bagi meningkatkan tenaga kerja mahir sepertimana dilakukan di Jerman dan negara-negara maju lain.Menurut beliau, di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), Malaysia memerlukan peningkatan 2.5 kali ganda enrolmen TVET menjelang 2025.Beliau berkata Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi) telah menggariskan pelbagai pendekatan untuk meningkatkan enrolmen TVET.Ini termasuk membolehkan industri untuk menerajui kurikulum reka bentuk dan penyampaian melalui model perkongsian baru, menyelaras dengan pelbagai kementerian dan agensi yang menawarkan program-program TVET untuk memperkemas kerangka kelayakan kebangsaan, menambah bilangan dan kualiti program yang ditawarkan oleh pelbagai IPT serta kolej vokasional dan mempromosi TVET sebagai aliran yang berdaya maju dan menarik.Beliau pada masa sama yakin TVET akan memberi berpeluang pekerjaan yang lebih luas kepada graduan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan graduan berkemahiran dapat seiring dengan graduan akademik dan profesional. -- BERNAMA