Perasmian program Lead Asia-Pacific Program (LAP) 2015 dengan Kerjasama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dan Asia-Pacific Youth Organisation (APYO)

 

Putrajaya, 1 Ogos 2015 - Majlis Perasmian Lead Asia-Pacific Program (LAP) 2015 anjuran  Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dan Asia- Pacific Youth Organisation (APYO) telah dirasmikan oleh Tan Sri Dr. Rebecca Fatima St Maria, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Majlis perasmian tersebut tutur dihadiri oleh wakil Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Dr. Aishah Kasa dan wakil Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC).

 Program ini telah dilaksanakan bersama-sama 18 delegasi daripada negara East Asia Summit (EAS) seperti 10 negara ASEAN, Jepun, China, Australia,dan India. Program ini dilaksanakan bertujuan untuk menyediakan satu platform interaksi antara badan kerajaan rasmi di East Asia Summit dengan golongan belia bagi mendapat pelbagai input untuk menghasilkan dasar dan polisi yang berkualiti dan dinamik. Program ini berlangsung selama 5 hari bertempat di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) yang padat dengan sesi seminar dan bengkel penulisan dasar dan siri kunjungan hormat dan lawatan ke beberapa institusi yang berkaitan.

 Pelaksanaan LAP 2015 merupakan penganjuran kali ketiga dan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bersempena dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2015. APYO adalah sebuah pertubuhan pelajar (non-profit organization) yang beribu pejabat di Canberra, Australia dan mempunyai cawangan di Melbourne dan Indonesia. 

   Program ini juga, menjadi platform kepada pemimpin muda dari seluruh rantau Asia untuk mengetengahkan, membincangkan dan menyelidik tentang isu- isu serantau secara lebih terbuka dan seiring membawa misi LAP untuk menyediakan platform perbincangan yang berkualiti tinggi dan berterusan antara golongan Belia dan anggota kerajaan di peringkat East Asia Summit (EAS).

Oleh: Muhammad Zahid Alif Bin Abdul Aziz

Disunting: 
Shariffah Bte. Mamat