PERKASAKAN PERANAN WANITA

 

PUTRAJAYA 24 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus mengingatkan semua syarikat korporat yang dimiliki kerajaan dan swasta agar mencapai sasaran 30 peratus penglibatan wanita di pe­ringkat pembuat keputusan dalam tempoh terdekat.

 Menurutnya, dasar itu adalah salah satu indeks yang terkandung di dalam laporan tahunan untuk tahun hadapan dan mesti dicapai sejajar dengan transformasi ekonomi negara.Perdana Menteri berkata, semua sektor korporat perlu menunjukkan komitmen penuh dan mengambil langkah sewajarnya untuk mencapai sasaran peratusan tersebut.

 “Namun menerusi indeks di dalam laporan tahunan itu kita akan tahu syarikat mana yang telah mencapai sasaran dan yang mana belum capai. Sehingga Jun lalu, sektor korporat atau swasta baru mencapai 15 peratus.

“Namun dalam tempoh yang sama di sektor awam, angka penyer­taan wanita di peringkat pembuat keputusan telah mencapai 33 peratus iaitu lebih daripada sasaran, tahniah kepada semua,” katanya semasa berucap pada majlis Sambutan Hari Wanita 2015 'Raikan Kegemilangan' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Yang hadir sama, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Timbalannya, Datuk Azizah Mohd. Dun.Sambutan Hari Wanita 2015 itu disambut meriah oleh 3,000 wa­nita yang terdiri daripada penjawat awam, sektor swasta, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar dari institusi pengajian tinggi (IPT).

Najib berkata, sempena meraikan hari wanita kebangsaan beliau juga menggesa jabatan, agensi dan kementerian yang masih belum mewujudkan taska di dalam bangu­nan supaya segera mendirikan pusat untuk kanak-kanak itu.Perdana Menteri memberitahu, program Permata merupakan kokurikulum yang terbaik untuk diambil oleh setiap kementerian dan agensi dalam usaha mewujudkan pusat yang kini menjadi keutamaan kerajaan dalam merealisasikan transformasi negara.

 

“Perlunya kita wujudkan taska di tempat kerja kerana taska ini bukan sahaja memudahkan wanita tetapi untuk anak-anak agar mereka dapat bimbingan, didikan dan ajaran yang sempurna,” katanya.Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menekankan mengenai waktu kerja anjal yang kini dilihat hanya dilaksanakan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).Menurutnya, dalam Bajet 2014, kerajaan telah menyediakan peruntukan untuk pelaksanaan waktu kerja anjal, menunjukkan dasar seumpama itu boleh dilaksanakan di kementerian atau jabatan lain.Beliau berkata, kerajaan menyo­kong pelaksanaan waktu kerja anjal di kementerian lain bagi me­ningkatkan penyertaan wanita ke pasaran kerja.

 

UTUSAN ONLINE : MUZDALIFAH MUSTAPHA  |  25 Ogos 2015

- See more at : http://www.utusan.com.my/