MAJLIS BACAAN YASSIN DAN DOA SELAMAT UNTUK BAKAL JEMAAH HAJI AHLI PUSPANITA CAWANGAN KBS DAN WARGA KBS

PUTRAJAYA, Ogos 2015 – Pengerusi Biro Pendidikan dan Pembangunan Keluarga, YBrs. Dr. Wasitah Hj. Mohd. Yusof, juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IYRES dan suami, Pengerusi Biro Sukan Puspanita, YBhg. Datin Rosni Binti Koronay dan suami, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBhg. Dato' Ahmad Shapawi bin Ismail, merupakan antara yang dirai dalam majlis bacaan yassin dan doa selamat untuk bakal jemaah haji ahli PUSPANITA Cawangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta warga kementerian baru-baru ini. Selain itu, antara pegawai dan kakitangan KBS yang turut serta bagi menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun ini ialah Encik Azunan Daud, Ketua Audit Dalam KBS, Encik Badrulsham bin Idris serta Puan Rokiah binti Ibrahim.

 

Majlis anjuran Biro Kebajikan dan Agama PUSPANITA KBS dengan kerjasama Biro Agama dan Kebajikan Kelab ‘Team KBS’ ini bagi mendoakan keselamatan, selamat pergi dan kembali, diberikan kesihatan dan kekuatan untuk melakukan ibadah haji dengan sempurna serta mendapat haji yang mabrur. Majlis tersebut juga bertujuan menyuntikkan azam dan impian kepada para hadirin dan jemputan untuk ke tanah suci bagi mengerjakan ibadah haji pada masa akan datang serta meletakkan urusan mengerjakan haji lebih utama daripada keinginan-keinginan yang lain.

 

Majlis yang dipimpin oleh Ustaz Mohamad Tahir B. Kamis daripada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, KBS turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Jamil Bin Salleh, Ketua Setiausaha KBS serta isteri YBhg Datin Asmah Bin Samat selaku Pengerusi PUSPANITA Cawangan KBS.

 

Di akhir majlis, YBhg Datuk Jamil Bin Salleh merangkap Penaung Puspanita dan isteri menyerahkan sumbangan ikhlas kepada bakal jemaah haji dan mendoakan semoga bakal jemaah haji dikurniakan kesihatan yang baik dan memperoleh haji yang mabrur.  

 

Disediakan oleh : Raja Shahida Raja Hassan

Disunting oleh : Nadya Shaffinaz Bajuri