PEMAHAMAN DAN PENGHAYATAN RUKUN NEGARA DALAM KALANGAN BELIA BANDAR DI SEMENANJUNG MALAYSIA

Perpaduan merupakan asas kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Ia menjadi pengikat terpenting dalam mencapai sesuatu kejayaan. Kerajaan memperkenalkan Rukun Negara bagi mewujudkan kesefahaman dan perpaduan antara kaum untuk membina sebuah negara yang aman dan maju. Pemahaman dan penghayatan terhadap Rukun Negara perlu diukur dalam kehidupan belia untuk memperkukuhkan perpaduan nasional. Kajian ini bertujuan mengenal pasti tahap pemahaman dan penghayatan belia pelbagai kaum terhadap ideologi nasional, yakni Rukun Negara. Reka bentuk penyelidikan adalah deskriptif yang menggunakan kaedah tinjauan dengan mengedar borang soal selidik secara persampelan mudah di empat zon utama. Seramai 598 orang terlibat dalam kajian ini bagi mewakili empat zon utama, iaitu zon utara (Pulau Pinang dan Perak), zon tengah (Selangor), zon selatan (Johor) dan zon timur (Pahang) dengan memberi fokus kepada golongan belia di kawasan bandar. Dapatan kajian menunjukkan belia Melayu lebih memahami serta menghayati Rukun Negara berbanding kaum lain dan secara umumnya menunjukkan bahawa tahap pemahaman belia adalah tinggi. Walau bagaimanapun, tahap penghayatan terhadap Rukun Negara dalam kalangan belia masih berada pada tahap sederhana. Generasi muda kini seharusnya lebih prihatin serta menghayati falsafah dan kelima-lima Rukun Negara untuk memastikan bangsa Malaysia lebih bersatu padu untuk membentuk jati diri nasional dan tamadun Malaysia.

Kata Kunci: Rukun Negara, Belia, Perpaduan, Jati Diri Nasional, Tamadun Malaysia

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH