PERSEPSI BELIA TERHADAP PARTI POLITIK DAN TAHAP PENGLIBATAN POLITIK DI SELANGOR

Artikel ini bertujuan untuk meneliti persepsi belia terhadap parti politik dan melihat sejauh mana tahap penglibatan politik belia di Selangor. Seramai 500 orang responden telah dipilih melalui kaedah pengiraan “Probability Proportional to Size” (PPS) Cluster Sampling dan maklumat dikumpulkan dengan menggunakan borang soal selidik yang telah diisi sendiri oleh responden. Ujian deskriptif diguna untuk melihat latar belakang responden, persepsi belia terhadap parti politik dan tahap penglibatan politik mereka. Manakala ANOVA digunakan bagi melihat perbezaan penglibatan belia dalam politik antara kaum di Selangor. Daripada sampel kajian seramai 236 orang (47.2%) lelaki dan 264 orang (52.8%) perempuan berumur lingkungan 21 hingga 40 tahun telah dikenal pasti bagi menjawab soalan kaji selidik. Hasil kajian mendapati persepsi belia terhadap parti politik berada pada tahap sederhana iaitu 62.0 % bagi Parti Barisan Nasional dan 70.6% bagi Pakatan Rakyat. Dapatan kajian juga memaparkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap penglibatan belia dalam politik dengan kaum Melayu, Cina dan India (p>0.05). Kajian ini juga telah menunjukkan kerajaan yang baik dan cekap menyelesaikan masalah rakyat akan dipilih golongan belia kerana persepsi belia terhadap Parti Politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat berada pada tahap sederhana dan persepsi ini boleh berubah pada bila-bila masa. Manakala tahap penglibatan politik yang rendah ini perlu dipandang serius dan usaha berterusan perlu dijalankan bagi memupuk semangat untuk terlibat dalam politik oleh golongan belia.

Kata Kunci: Persepsi,Parti Politik, Penglibatan Politik, Belia

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH