RESOLUSI PERSIDANGAN MEJA BULAT BELIA (RTD) “CABARAN AGENDA SOSIAL – KESIHATAN MENTAL & GENERASI MUDA”

Belia Malaysia dan Peserta Program RTD, Cabaran Agenda Sosial -Kesihatan Mental & Generasi Muda yang bersidang di Podium B, Menara KBS, Kementerian Belia dan Sukan anjuran Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) pada 27 Februari 2018 bersetuju menerima perkara-perkara berikut bagi melaksana dan menggesa saranan serta resolusi untuk tindakan pihak Belia, Ibubapa/Penjaga, Masyarakat, Majikan/Rakan Sekerja dan Kerajaan seperti berikut:

PERANAN BELIA 1. Golongan belia DISARAN mendapatkan khidmat kepakaran tanpa ada apa-apa stigma/ was-was kepada sebarang bantuan dan sokongan berkaitan kesihatan mental khususnya yang telah diberikan oleh kumpulan pakar kesihatan mental.

2. Golongan Belia DISARANKAN untuk mengenalpasti simptom-simptom yang ada pada diri dan ambil perhatian serius dengan mendapatkan khidmat nasihat dan rujukan daripada pakar dalam bidang kesihatan mental. 3. Golongan Belia DISARAN untuk menerapkan serta meningkatkan amalan keagamaan/ religiositi/ kerohanian bagi mengurangkan risiko kesihatan mental.

4. Golongan Belia DISYOR untuk melibatkan diri dalam kempen-kempen berkaitan kesihatan mental yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak.

PERANAN IBUBAPA/PENJAGA

5. Golongan Belia MENGGESA Ibubapa/Penjaga memberikan perhatian kepada anak-anak secara individu bagi mencegah mereka terdedah dengan masalah yang boleh membawa kepada isu kesihatan mental.

6. Golongan Belia MENYARANKAN Ibubapa/penjaga mempunyai pengetahuan (parenting skill) bagi mendidik anak-anak agar mempunyai daya tahan diri.

PERANAN MASYARAKAT 7. Golongan Belia MENYARANKAN agar masyarakat menerima dan tidak mempunyai stigma terhadap pesakit mental agar mereka ini tidak terasa terpinggir.

 

PERANAN MAJIKAN & RAKAN SEKERJA

8. Golongan Belia MENYARANKAN agar majikan mendapatkan informasi berkaitan pengurusan kesihatan mental untuk membantu kakitangan dalam organisasi.

9. Golongan Belia MENGESYORKAN agar pihak majikan membuat penilaian ke atas tahap kualiti kesihatan mental kakitangan agar dapat membantu mereka berhadapan dengan situasi.

10. Golongan Belia MENGESYORKAN majikan untuk menerima secara positif perkongsian kakitangan berkaitan masalah kesihatan mental.

11. Golongan Belia MENYARANKAN agar rakan sekerja membantu melaporkan jika terdapat isu-isu stres dan kemurungan dalam kalangan rakan sekerja kepada majikan.

PERANAN KERAJAAN

12. Golongan Belia MENYARANKAN agar pihak kerajaan mengkaji pindaan kesalahan hukuman membunuh diri dibawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membantu mereka mendapatkan rawatan dan pertolongan yang sewajarnya.

 13. Golongan Belia MENGESYORKAN untuk memperbanyakkan Pusat Inovasi Sosial bagi memberi ruang kepada belia berinteraksi bersama komuniti menggunakan konsep Asset Based Community Development.

14. Golongan Belia MENYARAN agar melaksanakan inisiatif bagi memastikan masyarakat terutama generasi muda mempunyai ruang dan peluang untuk memantapkan nilai rohani dan jasmani.

15. Golongan Belia MENGGESA agar pihak kerajaan melahirkan lebih ramai pakar terlatih yang berkebolehan bagi membantu menangani isu kesihatan mental.

16. Golongan Belia MENGESYORKAN untuk mewujudkan talian khas (suicide hotline) bagi membantu belia yang mengalami masalah kesihatan mental bagi mengelakkan kes bunuh diri.