PERSIDANGAN MEJA BULAT BELIA: RASIONALISASI SUBSIDI BAHAN API

Tarikh : 15 November 2014 (Sabtu)
Masa : 9.00 pg - 5.00 ptg
Tempat  : Dewan Serbaguna, Podium B, KBS 
   Ybhg Tuan Hj Adnan Abu Hassan
   Pengerusi,Ahli Lembaga Pengarah IYRES
Peserta : 68 orang

 Resolusi Persidangan

Intipati Resolusi yang dapat diketengahkan dari Persidangan Meja Bulat Belia mengenai Rasionalisasi Subsidi Bahan Api di Dewan Serbaguna, Podium B Menara KBS pada 15 November 2014adalah seperti berikut:-

  1.  Golongan Belia berpandangan  pihak Kerajaan MESTI memberi penerangan yang jelas dan berkesan mengenai tindakan melaksanakan Rasionalisasi Subsidi Bahan Api.
  2.  Golongan Belia MENGGESA agar pihak Kerajaan dapat mengkaji cadangan pemberian subsidi bahan api menggunakan kad pengenalan berdasarkan peringkat pendapatan kerana ianya mendatangkan pelbagai kesukaran sama ada di peringkat pembekal, peruncit/pengusaha stesen minyak mahu pun pengguna.
  3.  Golongan Belia MENCADANGKAN agar pihak Kerajaan melaksanakan pemberian subsidi bahan api menggunakan sistem kad khas pra-bayar untuk memastikan kumpulan sasar yang lebih tepat dan memantau penggunaan bahan api oleh golongan tersebut.
  4.   Golongan Belia MEMINTA kerajaan mengkaji semula pelaksanaan sistem subsidi secara pukal mengikut sektor  untuk mengelakkan berlakunya ketirisan dan profiteering seperti penyeludupan bahan api oleh peniaga dan pengilang secara berleluasa.
  5.  Golongan Belia MENGHENDAKI pihak Kerajaan telus apabila melaporkan  perancangan dan penggunaan hasil penjimatan daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api.
  6.  Golongan Belia MENCADANGKAN pihak Kerajaan mengambil masa yang sewajarnya untuk mengkaji sebarang inisiatif terhadap sistem yang dicadangkan oleh pelbagai pihak untuk melaksanakan pemberian subsidi agar inisiatif tersebut dapat berfungsi dengan baik dan bukan berorientasikan keuntungan pihak yang membuat cadangan demi keselamatan semua pihak.
  7.  Golongan belia MENGGESA pihak Kerajaan memastikan rasionalisasi subsidi bahan api kurang memberi kesan kepada kenaikan harga barang-barang keperluan yang lain dengan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sedia ada secara lebih serius.
  8.  Golongan Belia BERPENDIRIAN bahawa pihak Kerajaan perlu melaksanakan Rasionalisasi Subsidi Bahan Api dengan kadar paling minimum, secara berperingkat dan mengumumkannya di waktu yang sesuai agar tidak membebankan rakyat dengan kenaikan harga minyak dan barang yang mendadak.
  9.  Golongan belia MENCADANGKAN bahawa pihak Kerajaan perlu melarang sebarang bentuk iklan dan promosi terhadap semua bahan api bersubsidibagi mengelakkan golongan berkemampuan tertarik untuk menggunakan bahan api bersubsidi.

      10. Golongan Belia BERPENDIRIAN agar pihak Kerajaan menyalurkan subsidi bahan api dengan lebih sistematik seperti mengurangkan kos cukai jalan, cukai kenderaan dan insurans kenderaan.

     11. Golongan Belia MENGGESApihak Kerajaan memberi tumpuan kepada usaha penambahbaikan sistem pengangkutan awam di seluruh negara dan mengurangkan kadar tambang pengangkutan awam termasuk memberikan subsidi kepada penyelenggaraan dan cukai yang dikenakan ke atas pengangkutan awam sehingga tambang pengangkutan awam dapat dikurangkan kepada 50%.

      12. Golongan Belia BERPENDIRIAN agar pihak Kerajaan dapat menggalakkan pelbagai pihak menjalankan inisiatif dalam mendapatkan sumber tenaga yang boleh diperbaharui sebagai alternatif bahan api dan meningkatkan kecekapan tenaga dengan skim-skim galakan tertentu.

    13. Golongan Belia MENCADANGKAN agar pihak Kerajaan melaksanakan pendekatan NBOS dengan mewujudkan Makmal Rasionalisasi Subsidi Bahan Api yang dianggotai oleh pihak kerajaan, pengeluar dan pengimport minyak, pengusaha stesen minyak dan pengguna yang kesemuanya merupakan pemegang taruh kepada inisiatif ini.

    14. Golongan Belia BERPANDANGAN bahawa pihak Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri  perlu mengkaji semula strategi perbelanjaan Kerajaan supaya tidak berlaku ketirisan yang mengakibatkan rakyat berpendapat Rasionalisasi Subsidi Bahan Api dilaksanakan bertujuan menampung ketirisan tersebut.

    15. Golongan belia berpandangan di samping pihak Kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi yang mengakibatkan kenaikan harga bahan api, Kerajaan perlu memperkenalkan beberapa inisiatif yang membolehkan rakyat berpeluang menambah pendapatan bagi menampung kenaikan harga bahan api dan kos sara hidup.