TIGA TERAS UTAMA MEMARTABATKAN PELAN STRATEGIK IYRES 2021-2025

26042021   Bengkel Pelan Strategik IYRES

PUTRAJAYA, 21-23 April 2021 – Bengkel Pelan Strategik Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) 2021-2025 telah diadakan dengan jayanya selama tiga hari bermula 21 hingga 23 April bertempat di The Everly Hotel, Putrajaya. Bengkel ini bertujuan untuk mengemaskini dan memurnikan Pelan Strategik IYRES untuk tempoh lima tahun akan datang.

Tujuan pemurnian pelan strategik ini adalah untuk merangka halatuju IYRES supaya ia sejajar dengan Akta 668, Dasar Belia Malaysia, Matlamat Pembangunan Lestari/ Sustainable Development Goals (SDG), Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia ke-12 dan Pelan Strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2021-2025.

Selama tiga hari bengkel ini berlangsung, para peserta telah mengenalpasti kekuatan, kelemahan, peluang dan cabaran IYRES pada masa lalu demi memperbaiki misi dan visi IYRES sebagai peneraju institut penyelidikan pembangunan belia dan pusat rujukan data belia melalui tiga teras utama iaitu penyelidikan dan data, jaringan strategik dan tadbir urus.

Bengkel ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBrs. Dr. Vellapandian Ponnusamy, Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) IYRES manakala taklimat bengkel disampaikan oleh Pn. Nuurul Mizaan Ya’cob, Eksekutif Penyelidik Kanan IYRES. Turut hadir adalah ketua bahagian dan ketua setiap unit di IYRES. Bengkel diakhiri dengan pembentangan draf dokumen Pelan Strategik IYRES 2021-2025 oleh YBrs. Dr. KPE kepada semua ahli Lembaga Pengarah IYRES.